LOS ANGELES - 29 NOVEMBER 2023 - Riot Games, pembangun dan penerbit yang terkenal dengan League of Legends (League) dan VALORANT, hari ini mengumumkan bahawa Pengasas Bersama Riot dan bekas CEO Bersama Marc Merrill akan menyelia ekosistem semua produk di Riot Games dalam peranan yang baru ditubuhkan sebagai Ketua Pegawai Produk (CPO).

Sebagai CPO, Marc akan menerajui visi bagi ekosistem yang mengelilingi setiap permainan sambil membantu dalam mengukuhkan laluan masa hadapan League, VALORANT, Teamfight Tactics, Wild Rift, Legends of Runeterra serta Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di Riot. Melaporkan diri kepada CEO Dylan Jadeja, beliau sekali lagi akan bertanggungjawab untuk menyelaraskan strategi produk yang lebih luas dan memastikan pengalaman gameplay, e-sukan dan hiburan merentas semua permainan diselaraskan bagi memacu hasil yang paling berkesan dan menyentuh hati pemain.

“Dalam bab seterusnya untuk Riot ini, matlamat kami adalah untuk menggandakan usaha ke arah misi kami bagi pemain dan meneruskan evolusi kami daripada menyampaikan permainan sebagai perkhidmatan kepada membawa permainan sebagai pengalaman kepada pemain,” kata Jadeja. “Marc sangat sesuai untuk memacu orientasi dan tumpuan yang lebih baik ini bagi pihak pemain. Beliau telah membantu dalam membina Syarikat ini sejak mula lagi, dan sudah bertahun-tahun beliau melibatkan diri dalam menjadikan misi kami satu kenyataan. Beliau sangat mengambil berat tentang identiti kami dan maksud kami kepada pemain dan mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang perkara yang menyentuh hati merentas produk-produk kami. Perkara yang paling penting ialah Marc berkongsi visi strategik kami untuk menyatukan permainan, e-sukan dan hiburan menjadi satu pengalaman bagi pemain yang melampaui sekadar gabungan setiap satu. Kami tidak akan menjadi Syarikat sebegini tanpa kepimpinannya, dan saya berbesar hati dan teruja untuk beliau melangkah ke peranan yang kritikal ini.” 

Peranan baharu itu akan mengukuhkan strategi produk Riot untuk masa hadapan selepas pengembangan produk di Riot sejak lima tahun lalu, dengan pelancaran permainan dalam genre penembak dan strategi, pengembangan ke dalam permainan mudah alih, serta siri animasi Arcane yang telah memenangi Anugerah Emmy. Pengalaman dan falsafah Marc yang mengutamakan pemain meletakkannya dalam posisi yang unik untuk membantu dalam mengemudi orientasi penonton Riot, memastikan ketulenan naratif dan permainan tertumpu kepada pemain merentas semua permainan dan produk terus berkembang, melibatkan pemain dalam cara yang baharu dan memberi ganjaran.

“Saya teruja dengan peluang untuk membantu Riot menyampaikan pengalaman yang benar-benar istimewa kepada pemain,” kata Merrill. “Dalam dunia yang penuh dengan pilihan hiburan yang menakjubkan, pemain mahukan permainan yang benar-benar hebat, dan kami berhasrat untuk mencipta sesuatu yang sebegitu.”

Sebelum dinamakan CPO, Marc baru-baru ini merupakan Presiden Tunggak Permainan di Riot, yang menyaksikan beliau bekerja rapat dengan pemimpin permainan mengenai strategi keseluruhan di sebalik portfolio permainan Riot. Sejak mengasaskan Riot bersama pada tahun 2006, Marc telah memainkan pelbagai peranan kepimpinan kritikal, termasuk sebagai Presiden pertama Riot dan Penerbit Eksekutif pertama League of Legends dan seterusnya menjadi CEO Bersama. Dia memainkan peranan penting dalam pembentukan usaha E-Sukan dan hiburan Riot dan kini merupakan Pengerusi Bersama Lembaga Pengarah Riot bersama rakan pengasas bersamanya Brandon Beck. 

Berasal dari Los Angeles, Marc bukan sahaja memainkan peranan penting dalam penubuhan Riot dan League of Legends, dia juga pernah berkhidmat sebagai penerbit eksekutif di Arcane, menganggotai lembaga pengarah beberapa badan bukan untung termasuk menjadi Pengerusi Bersama Unite America, dan bekerjasama dengan SoLa Impact untuk membiayai pembinaan dan operasi Pusat Teknologi dan Keusahawanan SoLa yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada generasi seterusnya pembangun permainan, atlet e-sukan, profesional teknologi, pemimpin dan usahawan Berkulit Hitam dan Coklat—semuanya percuma bagi penduduk LA Selatan. Marc dan isterinya, Ashley, telah berkahwin selama 14 tahun dan mempunyai dua orang anak.