Pemain yang dihormati,

Baru sebentar tadi kami berkongsi dengan Rioter bahawa kami akan fokuskan semula pada bilangan projek yang kurang tetapi berimpak tinggi untuk menggerakkan kami ke arah masa hadapan yang lebih mampan. Sekarang, kami ingin berkongsi kesan perubahan ini untuk permainan kami, segala-galanya yang berkaitan dengannya (e-sukan, Arcane, muzik, dll.) dan perkara yang boleh dijangkakan pada masa hadapan.

Untuk sebahagian besar sejarah kami, kami telah berjaya mengelakkan hari seperti ini, tetapi keputusan ini penting untuk masa hadapan Riot. Hal ini bukan dilakukan untuk memuaskan hati para pemegang saham atau untuk mencapai jumlah pendapatan suku tahunan—ia adalah satu keperluan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila bilangan pekerja Riot meningkat lebih daripada dua kali ganda, kami memperluaskan usaha kami merentasi lebih banyak projek tanpa pengetahuan mendalam tentang perkara yang paling diperlukan oleh pemain. Pelarasan yang kami lakukan bertujuan untuk memfokuskan pada bidang yang mempunyai impak paling besar pada pengalaman anda sambil mengurangkan pelaburan pada perkara yang tidak sedemikian. 

Hal ini bermakna kami menyingkirkan kira-kira 530 peranan di seluruh dunia, yang mewakili kira-kira 11% Rioter, dengan kesan terbesar kepada pasukan di luar pembangunan teras. Kami menyedari bahawa ramai dalam kalangan anda bukan sahaja mengambil berat tentang permainan yang anda mainkan, tetapi juga tentang orang yang menghasilkannya. Hal ini bukan sekadar perubahan organisasi; ia memberi impak kepada individu dan keluarga, dan kami melakukan yang terbaik untuk mengendalikan keputusan ini dengan rasa hormat dan sensitif. Jika anda ingin membaca e-mel yang kami hantar kepada Rioter, kami telah berkongsinya di sini.

Melipatgandakan Permainan sebagai Tonggak

Dengan langkah hari ini, kami akan kembali meletakkan permainan sebagai tunjang dalam segala aspek yang kami lakukan. 

Visi kami untuk masa hadapan adalah tegar dan komitmen kami terhadap permainan langsung teras kami – League of Legends, VALORANT, Teamfight Tactics dan Wild Rift – lebih bercita-cita tinggi berbanding sebelum ini. Kami mengutamakan pasukan ini supaya mereka boleh menumpukan pada kandungan, ciri dan kemas kini yang memberi respons terus kepada perkara yang anda mahukan. Jangkakan event, mod dan pelan hala tuju jangka panjang yang membawa kepada masa hadapan yang bertenaga (mudah-mudahan berbilang dekad) untuk permainan ini.

Strategi kami akan mengintegrasikan e-sukan, muzik dan hiburan dengan permainan kami secara lebih bersepadu lagi. E-sukan bukan sekadar tentang persaingan; ia mengenai suka, duka, dan komuniti yang berkembang di sekitar permainan. Hiburan bukan sekadar tentang bercerita; ia adalah pintu masuk kepada naratif, watak dan dunia yang lebih mendalam yang memperkayakan pengalaman permainan. Semasa kami berkembang, beberapa usaha kami telah menjadi lebih terpencil dan kami bercita-cita untuk menggabungkan permainan, kecemerlangan daya saing dan kedalaman naratif dengan lebih lancar dengan cara yang benar-benar menjadikannya lebih baik untuk menjadi seorang pemain. Sama ada ia projek besar seterusnya daripada K/DA, kisah yang berlaku di Arcane, ketegangan TFT Open, keterujaan permainan 5 di Worlds atau suasana menggetarkan VAL Champs, tumpuan kami adalah pada kualiti, impak dan pengalaman disepadukan untuk pemain di seluruh dunia. 

Di sebalik permainan langsung, kami mempunyai projek sedang dirancang yang kami tidak sabar untuk sampaikan kepada anda apabila ia sudah sedia. Projek L telah mencapai kemajuan yang hebat dan kami sedang mencari lebih banyak peluang untuk anda mencuba permainan ini (nantikan lebih banyak kemas kini yang akan datang dalam tahun ini). Arcane Musim 2 sedang mengikut jadual untuk dikeluarkan pada November 2024. Selain itu, kami mempunyai beberapa projek dalam perancangan di pelbagai peringkat R&D.

Jumlah keluaran kami tidak akan banyak. Kami mahu semua yang kami sampaikan menjadi sesuatu yang boleh anda banggakan dan teruja untuk kongsikan dengan rakan-rakan. Hal itu memerlukan fleksibiliti kewangan agar dapat meluangkan masa untuk mencipta perkara yang benar-benar hebat untuk pemain. Kami tahu kami akan tersasar sekali-sekala, tetapi kami mahu kesilapan itu adalah atas sebab yang betul, bukan kerana kami mengutamakan perkara yang salah atau terpaksa tergesa-gesa mengeluarkan projek sebelum siap.

Legends of Runeterra dan Riot Forge

Kami ingin menyebut secara khusus dua aspek yang anda akan melihat kesan serta-merta daripada perubahan hari ini: Legends of Runeterra dan Riot Forge. 

  • Sambil LoR meneruskan perjalanannya, kami membuat perubahan untuk menggerakkan permainan ke arah kelestarian. Kami tahu terdapat komuniti yang bersemangat yang sangat menyukai permainan ini—begitu juga kami.​ Walaupun dengan pencapaian kritikal dan peranan yang dimainkannya dalam membantu membina dunia Runeterra, LoR telah menghadapi cabaran kewangan sejak dilancarkan, dengan kos yang lebih tinggi untuk membangun dan menyokongnya daripada yang ia janakan. Oleh itu, kami mengurangkan saiz pasukan kami dan memperbaharui tumpuan kami pada The Path of Champions. Peralihan ini membolehkan pasukan lebih bereksperimen dalam ruang PvE, menumpukan pada mod permainan yang pemain telah banyak luangkan masa. Pasukan LoR mempunyai butiran lanjut di sini, dan kami mempunyai video yang dirancang untuk dikeluarkan dalam minggu-minggu akan datang untuk bercakap lebih lanjut tentang masa hadapannya.

  • Kami akan menamatkan pembangunan permainan baharu di bawah Riot Forge selepas keluaran Bandle Tale: A League of Legends Story yang akan datang. Forge ialah percubaan untuk melihat hasil apabila Rioter bekerjasama dengan pembangun indie kegemaran mereka dan membiarkan mereka melihat Runeterra dengan sudut pandangan, gaya dan kepakaran unik mereka. Merentasi enam permainan yang merangkumi genre permainan, rantau dan watak yang berbeza, amat menginspirasikan melihat perkara yang dicipta oleh para pembangun ini dengan kerjasama pasukan Forge. Kami berbangga dengan apa yang kami usahakan bersama untuk menghidupkan kisah-kisah ini, tetapi sudah tiba masanya untuk menumpukan semula usaha kami pada projek bercita-cita tinggi yang sedang dijalankan secara dalaman di Riot. 

Perjalanan Seterusnya Bersama Anda

Strategi kami untuk masa hadapan adalah jelas: kami memberi fokus pada perkara yang kami paling mahir lakukan dan perkara yang paling menggerakkan hati anda. Setiap usaha, daripada pembangunan kepada penceritaan hinggalah pertandingan, akan direka untuk menyampaikan pengalaman yang bermakna dan tidak dapat dilupakan dengan permainan sebagai tonggak. 

Walaupun perubahan boleh membawa ketidakpastian, ia juga membuka peluang untuk pertumbuhan dan inovasi. Kami berterima kasih atas sokongan berterusan anda; tiada apa yang Riot pernah wujudkan akan berhasil tanpa anda. Semangat dan penglibatan anda memberi inspirasi kepada kami setiap hari, dan kami teruja untuk meneruskan perjalanan ini bersama-sama.


Dylan & Marc