Kami berbesar hati mengumumkan bahawa Riot akan bekerjasama dengan Take This, sebuah badan bukan untung yang komited untuk meningkatkan sokongan terhadap kesihatan mental dalam permainan. Perbualan tentang kesihatan mental menjadi semakin ketara dan masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk menghapuskan stigma ini dan mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk kesihatan mental merentas pelbagai komuniti permainan.

Take This dan Riot berkongsi visi yang sama untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan inklusif yang membolehkan semua pemain merasakan sokongan dari segi mental dan fizikal. Riot akan menyediakan dana dan sumber untuk Take This agar kami boleh berusaha untuk mengurangkan krisis kesihatan mental dalam dua cara.

Pertama, kami sedang mencipta kurikulum kesihatan mental yang disesuaikan untuk komuniti permainan. Kurikulum percuma ini membincangkan cara penstrim boleh mengendalikan keperluan kesihatan mental komuniti dan pada masa yang sama memastikan kesejahteraan mereka sendiri. Penstriman dan penciptaan kandungan ialah kerjaya yang memberi tekanan dan kurikulum ini disesuaikan dengan keperluan dan pengalaman khusus penstrim dengan tumpuan pada nasihat praktikal dan relevan.

Cara kedua ialah kami bekerjasama dalam siri video perbincangan panel tentang kesihatan mental oleh dan untuk komuniti Kulit Hitam, Orang Asli dan orang kulit berwarna (BIPOC). Setiap panel akan diketuai oleh doktor kesihatan mental yang akan disertai oleh pemain, pembuat permainan dan pencipta yang berkongsi identiti yang sama. Siri ini akan menyelami keperluan kesihatan mental kumpulan yang terpinggir dalam permainan dan pengalaman mereka melalui sistem penjagaan kesihatan. Video akan tersedia kepada semua di halaman YouTube TakeThis.

 

 

Perkongsian kami dengan Take This akan terus berkembang dari semasa ke semasa apabila keperluan pemain, penstrim dan pencipta kandungan berubah. Kami teruja untuk bergabung tenaga dengan Take This untuk saling belajar dan mendapat manfaat daripada komuniti masing-masing sambil kami mengejar matlamat bersama untuk meningkatkan ruang dalam talian dan menyediakan sokongan kesihatan mental kepada mereka yang paling memerlukannya.