Masa untuk menyalakan pelita. Ketika Ramadan bermula di seluruh dunia, tahun ini Wild Rift akan membawakan sambutan ini ke dalam permainan. Anda akan menyalakan pelita anda apabila anda log masuk tetapi keseronokan tidak berhenti di situ sahaja. Sepanjang lima minggu Ramadan dan Aidilfitri akan datang, pasukan di sebalik Wild Rift telah memasak banyak perkara untuk dijamu. Terdapat poro yang bergendang untuk memastikan rakan mereka tidak terlepas Sahur, mod permainan baharu untuk dimainkan bersama rakan serta hadiah sebagai ganjaran. 

“Ramai pemain Wild Rift menyambut Ramadan secara global jadi penting bagi kami untuk mengadakan event ini,” kata Richard Zheng, Penerbit Event untuk event Ramadan dalam permainan dari pasukan Penerbitan Wild Rift di Shanghai. “Kami mahu menunjukkan kepada para pemain bahawa kami sedar akan mereka dan kami mahu meraikan sambutan ini bersama-sama mereka dengan mengadakan event dalam permainan secara besar-besaran.” 

Sementara pasukan Wild Rift menjadikan event itu satu realiti, kisah Ramadan memasuki permainan bermula dengan sekumpulan Rioter yang meraikan Ramadan sendiri dan mengetahui betapa pentingnya perwakilan ini untuk para pemain.

“Saya membantu dalam mewujudkan sekumpulan Rioter digelar pasukan khas Ramadan yang terdiri daripada Rioter dari pelbagai pejabat Riot,” kata Anas Al Hakim, yang memulakan projek ini sebagai Pengurus Jenama di pejabat Dubai kami dan baru-baru ini telah dinaikkan pangkat kepada Ketua Kreatif APAC yang bekerja di Singapura. “Kami tahu terdapat berjuta-juta pemain yang menyambut Ramadan dan matlamat pasukan khas kami ialah membawakan sambutan tersebut ke dalam permainan.” 

Pasukan Wild Rift telah mendengar cadangan pasukan khas itu dengan jelas dan nyata sambil mereka memberi tumpuan kepada menyediakan event dalam permainan kepada lebih ramai pemain serantau. Namun jika mereka akan mengadakan event Ramadan, mereka ingin melakukannya secara betul dengan memastikan mereka mempunyai pemahaman penuh tentang segala aspek Ramadan. Untuk melakukan perkara itu, mereka telah meminta bantuan pasukan khas. 

“Ramai ahli pasukan ini belum pernah menyambut Ramadan sebelum ini, jadi kami meminta bantuan sekumpulan Rioter yang membantu dalam menjadikan event ini satu perwakilan global Ramadan yang tulen,” kata Ben Cheng, Pengurus Hala Tuju Kreatif Pemasaran dari pasukan Wild Rift di Shanghai. “Salah satu perkara pertama yang kami periksa ialah perbezaan dan persamaan dalam cara Ramadan disambut dalam pelbagai budaya. Kami mengadakan perbualan mendalam dengan para Rioter yang menyambut Ramadan di pelbagai pejabat kami untuk memastikan kami benar-benar memahami nuansa tempatan dalam setiap budaya dan cara mewakilinya dalam permainan.”

“Pasukan meminta saya untuk menjadi penasihat budaya dan visual untuk event itu dan saya berbesar hati,” kata Anas. “Tetapi saya tidak mahu meletakkan lensa saya sahaja pada event itu. Saya berasal dari Timur Tengah tetapi Ramadan sesuatu yang besar, yang disambut secara berbeza dari Indonesia, ke Turkiye, ke Saudi dan hinggalah ke Lebanon. Jadi kami mendapat wakil dari setiap rantau, ramai ahli pasukan khas yang asal, untuk bercakap tentang Ramadan di negara mereka untuk event ini.” 

Kini terdiri daripada pasukan Wild Rift dan Rioter dari banyak pejabat serantau, kumpulan Ramadan ini memulakan kerja dengan berkongsi tradisi tempatan, makanan dari setiap rantau dan cara Ramadan disambut. Cabaran utama pertama: apakah nama yang patut kami berikan?

 


Together Under the Crescent

Walaupun setiap rantau mempunyai tradisi unik turun-temurun berabad-abad lamanya, setiap ahli dalam pasukan khas bersetuju bahawa berkumpul dengan rakan dan keluarga adalah teras kepada Ramadan. Dengan menggandingkan idea itu dengan fasa bulan yang menandakan permulaan dan akhir Ramadan, mereka menghasilkan nama “Together Under the Crescent.” 

“Setiap hari pada bulan Ramadan anda berpuasa dari fajar hingga senja dan waktu yang paling penting ialah berbuka pada waktu malam dengan jamuan yang dipanggil Iftar,” kata Caner Sandik, Pengurus Jenama yang menasihati event ini dari pejabat Istanbul kami. “Selepas seharian berpuasa, Iftar merupakan waktu semua orang berkumpul dan meraikan dengan makanan. Jadi melalui event ini kami ingin menekankan perasaan bersama dan berkongsi kegembiraan itu antara satu sama lain.”

“Bagi saya, Ramadan ialah masa untuk berkumpul dengan rakan dan keluarga, malah mereka yang tidak pernah anda jumpai selama beberapa bulan,” kata Zeinab Alayan, Pengurus Jenama di Dubai yang membantu dalam event ini. “Masa ini merupakan masa kebersamaan, yang orang ramai cenderung menjemput satu sama lain untuk Iftar. Jika anda ingin membandingkannya dengan tradisi Amerika, perkara ini seperti mengadakan Thanksgiving setiap malam.”

Namun, sebelum berjamu selera, anda perlu berpuasa. Sesetengah budaya telah membangunkan tradisi mereka sendiri untuk membantu dalam menjangkau hari antara waktu makan. 

“Sebahagian daripada budaya tempatan kami di Indonesia adalah semasa Ngabuburit, masa dua jam terakhir sebelum kami berbuka, orang ramai menghilangkan rasa lapar dengan berjalan-jalan, menonton TV, bermain permainan mudah alih atau pergi ke Warung Internet dengan rakan-rakan,” kata Resha Pradipta, Pengurus Negara untuk Indonesia dan Malaysia yang bekerja di pejabat kami di Jakarta yang agak baru dibuka. “Pada masa ini, terdapat banyak kebersamaan antara orang yang menyambut Ramadan. Permainan adalah sebahagian besar daripada cara orang ramai meraikan sambutan ini dan menikmati masa mereka bersama-sama rakan dan keluarga.”

“Satu lagi masa orang banyak bermain permainan adalah ketika larut malam,” kata Anas. “Apabila anda sedang menunggu Sahur, hidangan lewat malam itu, adalah perkara biasa untuk melihat sekumpulan orang berkumpul bersama-sama pada pukul 2 pagi di sebuah restoran, di Kafe PC bermain Wild Rift, di shisha sambil menikmati snek lewat malam. Sesetengah orang itu mungkin berpuasa tetapi terdapat juga ramai yang tidak. Perkara ini hanyalah budaya pada masa ini. Sama ada anda sedang merayakan masa ini atau tidak, hari-hari anda berubah sepanjang Ramadan dan anda dapat berkumpul dengan rakan dan keluarga. Dan itulah perkara yang ingin kami tekankan dengan event ini, perasaan kebersamaan yang sangat dikaitkan dengan Ramadan.” 

Tahun ini Wild Rift akan menyediakan lebih banyak peluang untuk berkumpul dengan rakan-rakan kerana mod permainan dan permainan mini yang baharu telah direka untuk menambah perayaan dalam permainan.
 

Wild Rift Ramadan Road Map


Seruan Bangun Sahur yang Comel

Setiap hari Ramadan ditandakan dengan dua jamuan: Iftar, berbuka pada waktu malam, dan Sahur, hidangan terakhir sebelum matahari terbit dan puasa bermula. Jika anda terlepas bersahur, memang lama menunggu untuk Iftar malam itu. Itulah peranan gendang gergasi. 

“Dalam budaya Turki, terdapat tradisi turun-temurun sebelum kewujudan jam penggera,” kata Caner. “Oleh sebab bukan mudah untuk bangun pada pukul 4 pagi setiap pagi, pemain gendang akan merayau di jalanan untuk membangunkan orang sebelum waktu Sahur. Anda tidak mahu terlepas hidangan itu atau anda tidak akan berpuasa dengan selesa. Di setiap bandar di Turkiye, anda akan melihat pemain gendang merayau di jalanan. Perkara ini bagaikan runut bunyi Ramadan.” 

Dengan tradisi ini sebagai rujukan, pasukan Wild Rift mula bekerja. 

“Kami tahu kami mahu mencipta permainan mini tetapi tidak tahu perkara yang perlu difokuskan," kata Richard. “Kami mencadangkan sesuatu seperti menghias rumah atau trivia Ramadan. Namun kemudian kami mendapat tahu tentang budaya gendang ini yang biasa di Turkiye dan beberapa tempat lain yang menyambut Ramadan. Oleh itu, kami memutuskan untuk membuatkan poro berjalan dan membangunkan poro lain dengan memukul gendang. Kami bekerjasama dengan seorang penerbit muzik untuk memastikan bunyi gendang yang tepat bagi mencerminkan jenis gendang yang digunakan di Turkiye.” 

Permainan mini poro itu hanyalah satu permulaan. Secara keseluruhan, Together Under the Crescent akan berlangsung selama lima minggu yang penuh dengan event unik, emote baharu dan banyak lagi. Dalam permainan utama, pemain akan diberikan mod untuk dicuba dengan rakan mereka yang membawakan kombo baharu (dan berkuasa) ke WR. 

“Bahagian kegemaran saya dalam event ini ialah mod permainan double-cast baharu,” kata Homer Huang, Pengurus Jenama projek Ramadan ini di pejabat Shanghai. “Kami telah melihat pemain suka menghabiskan Ramadan mereka dalam permainan dan kami mahu menyediakan mod yang lebih kasual, lebih penuh aksi untuk mereka mainkan dengan rakan-rakan mereka.”

Antara permainan mini dengan emote, terdapat pelbagai jenis budaya dan warisan Ramadan yang diwakili dalam event tersebut. Namun terdapat satu imej yang benar-benar merangkumi semua budaya yang berkumpul untuk berkongsi perspektif mereka tentang event ini. 
 

Wild Rift Poro Iftar


Iftar Seluruh Dunia

Untuk Ramadan, seperti banyak perayaan lain, makanan berada di terasnya. Walaupun tradisi menyeluruh Ramadan merangkumi banyak budaya dan rantau, kebanyakan makanan yang biasa dimakan semasa Iftar adalah unik berdasarkan adat tempatan. Jadi untuk 14 poro ini, para Rioter di seluruh dunia telah menawarkan cadangan tentang makanan yang perlu disertakan ketika hidangan tradisional dari Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Tenggara mula muncul.

“Setiap negara menyambut Ramadan secara berbeza jadi untuk kempen Wild Rift ini kami ingin memastikan kami dapat mewakili sebanyak mungkin pengalaman unik,” kata Resha. “Makanan merupakan perkara besar yang kami perhatikan. Di Indonesia dan Malaysia, kami makan Ketupat semasa Hari Raya (nama tempatan untuk Aidilfitri) jadi itu antara hidangan pertama yang kami cadangkan mereka letak di atas meja untuk mewakili cara orang ramai menyambut Ramadan di Indonesia dan Malaysia.” 

“Di Turkiye, Aidilfitri disambut dengan banyak manisan dan pencuci mulut,” kata Caner. “Sepanjang masa ini semua orang melawat orang tersayang, jiran dan rakan mereka yang menyajikan hidangan Turki dan baklava kepada mereka. Agak lucu untuk menghabiskan sebulan berpuasa dan tiba-tiba mendapati diri anda sedang makan setengah kilogram baklava.” 

Dengan makanan yang menjadi tema utama Ramadan, artis di sebalik tabir cuba memasukkan seberapa banyak hidangan yang mungkin ke dalam jamuan poro. Antara teh, kurma, qatayef, dolma, kebab, gullac, pidesi Ramadan, sup puri, dan segala-galanya di atas meja, semua orang yang menyambut Ramadan boleh bersetuju hal ini adalah Iftar yang betul. 

Ke Arah Masa Hadapan

Pada tahun keempat Wild Rift sejak dilancarkan, pasukan itu terus berusaha untuk meningkatkan pengalaman dan mendekatkan lagi event kepada pemain di seluruh dunia. 

“Wild Rift merupakan satu permainan global dan kami mahu memastikan kami menghormati dan memberi penghormatan kepada budaya para pemain dengan pengalaman produk,” kata Homer. “Kami telah berusaha untuk menunjukkan perayaan serantau lain pada masa lalu seperti pengalaman web untuk Carnaval Brazil tahun ini. Selain event Tahun Baru Cina, Ramadan merupakan event dalam permainan pertama kami yang meraikan budaya para pemain dengan event yang penuh kandungan unik. Event ini sangat penting kepada kami dan kami berharap para pemain menikmatinya. Matlamat kami adalah untuk melakukan lebih banyak event seperti ini supaya pemain dapat melihat budaya mereka dicerminkan dalam permainan.” 

Selepas banyak usaha daripada pasukan Wild Rift, dan banyak input daripada para Rioter di seluruh dunia yang menyambut Ramadan, Together Under the Crescent kini sedia untuk dimainkan. 

“Apabila saya berkongsi beberapa visual dengan pasukan kami di Dubai, semua orang sangat teruja,” kata Zeinab. “Saya harap pemain juga menyukainya, dan menyedari bahawa kami tidak mengabaikan mereka. Sama seperti rakan sepermainan mereka yang boleh meraikan Tahun Baru Cina, Halloween atau Krismas dalam permainan, sudah tiba masanya untuk melihat budaya mereka diwakili. Kami semua cuba menyumbangkan pengalaman kami kepada event ini dan pasukan Wild Rift telah mempertimbangkan semua maklum balas kami untuk cuba menjadikan event ini sesuatu yang memberikan kesan yang paling besar kepada para pemain.” 

Dunia ini dipenuhi budaya yang mendalam dan kompleks. Mewakili semua budaya dalam permainan sememangnya satu cabaran, cabaran yang ingin ditangani oleh pasukan Wild Rift. 

“Kami sedang meningkatkan keupayaan penerbitan global kami,” kata Homer. “Kami mahu semua orang mempunyai detik perayaan budaya untuk dinikmati dalam permainan. Hal ini sangat penting bagi kami untuk mengadakan lebih banyak lagi event seperti ini. Dan sementara kami melakukan hal itu, adalah penting untuk melakukannya dengan betul agar menunjukkan kepada pemain bahawa bukan sahaja event itu tiba tetapi kami telah melakukan penyelidikan kami untuk menunjukkan rasa hormat kepada budaya mereka semasa kami membawanya ke dalam permainan.” 

Sama seperti Ramadan mewakili permulaan baharu, pasukan Wild Rift tahu Together Under the Crescent hanyalah permulaan kepada semua cara mereka boleh meraikan budaya pemain dalam permainan.

Cubalah Wild Rift untuk menyalakan pelita anda, membangunkan beberapa poro dan bermain bersama di bawah cahaya bulan sabit.