TL;DR: Permohonan untuk program rakan kongsi dalam League of Legends, VALORANT dan Teamfight Tactics akan dibuka mulai bulan Ogos.

Program rakan kongsi merentas permainan kami sedang memasuki era baharu. Sebelum ini, ketika League merupakan satu-satunya permainan kami, terdapat Program Rakan Kongsi League (League Partner Program, LPP). Namun, beberapa tahun yang lalu, kami telah menghentikan permohonan baharu buat sementara waktu sambil kami berusaha untuk memikirkan evolusi program rakan kongsi kami yang seterusnya–sesuatu yang dapat menyokong pencipta hebat merentas senarai permainan kami yang sentiasa berkembang. Kami memulakan evolusi itu dengan beta tertutup dan kini kami melancarkan lebih banyak ciri—serta membawa lebih ramai pencipta bersama-sama dalam perjalanan ini.  

Mulai bulan Ogos, pencipta kandungan akan dapat memohon secara langsung ke Program Rakan Kongsi League, VALORANT dan TFT. Kami teruja untuk mengalu-alukan secara rasmi ribuan pencipta ke dalam program baharu ini yang menawarkan manfaat unik dan sokongan yang telah lama diminta oleh para pencipta.

Permohonan akan dibuka untuk VALORANT pada bulan Ogos, League pada bulan September dan TFT pada bulan Oktober, dengan setiap tempoh permohonan dibuka selama kira-kira sebulan. Walaupun masih berbaki beberapa bulan lagi, tidak pernah terlalu awal untuk membuat persediaan. Terdapat beberapa perkara yang anda perlu ada untuk dipertimbangkan dalam salah satu program ini. Dan tidak, jumlah penonton yang besar bukanlah salah satu syarat—kami ingin membawa masuk pencipta kandungan yang sudah mapan serta yang sedang meningkat naik. 

Keperluan Program Rakan Kongsi

  1. Semangat terhadap permainan. Kami mencari pencipta kandungan yang benar-benar mempunyai hubungan yang tulen dengan permainan kami, jadi kami akan menilai cara anda bermain, mencipta kandungan dan berinteraksi dengan permainan yang anda mohon untuk sertai.

  2. Kesan positif kepada komuniti. Pencipta mempengaruhi cara pemain bermain permainan kami. Cara anda berinteraksi dengan orang lain—sama ada di platform anda sendiri atau di platform Riot—akan mempengaruhi permohonan anda. 

  3. Sebuah komuniti yang aktif. Program kami direka khas untuk pencipta yang sedang meningkat naik, serta untuk mereka yang sudah mempunyai komuniti yang kukuh. Tanda aras umum akan berbeza-beza mengikut permainan dan rantau, tetapi perkara paling penting ialah tahap penglibatan komuniti anda. 

Manfaat Program Rakan Kongsi

Jika hal ini menggambarkan anda, berikut ialah perkara yang boleh anda jangkakan sekiranya permohonan anda diluluskan:

  • Ciri yang memudahkan penciptaan kandungan dan menjadikan proses itu lebih berbaloi. Perkara seperti: 
    • Champion, Ejen atau Tactician yang Diaktifkan
    • Kod hadiah percuma untuk komuniti anda
    • Battle pass percuma
    • Sokongan Pemain Khusus untuk isu khusus kepada pencipta
  • Akses kepada Hab Pencipta serba baharu, lengkap dengan alat, sumber dan sokongan
  • Peluang unik khusus kepada pencipta seperti program drop, kempen pemasaran dan akses awal kepada kandungan. 
     
Riot Games Partner Program Login Page


Jika anda masih membina komuniti anda atau tidak berjaya dalam tempoh permohonan awal, jangan risau—ini bukan satu-satunya peluang. Kami merancang untuk membuka permohonan sekali lagi pada masa akan datang.

Untuk mengikuti perkembangan terkini, ikuti saluran sosial Riot dan letakkan tanda buku pada Hab Pencipta

Soalan Lazim

Berapa lamakah permohonan akan dibuka?

Tempoh permohonan terbuka awal bagi setiap permainan akan tersedia selama kira-kira sebulan. Berikut ialah tarikh-tarikh khusus: 

  • VALORANT: 3 Ogos 2026 – 28 Ogos 2026
  • League of Legends: 1 September 2026 – 30 September 2026
  • Teamfight Tactics: 1 Oktober 2026 – 30 Oktober 2026

Adakah Wild Rift mempunyai Program Rakan Kongsi? 

Program Rakan Kongsi Wild Rift akan memasuki beta tertutup pada akhir bulan ini, dengan jemputan yang akan dihantar kepada pencipta terpilih. League, VALORANT dan TFT telah melalui proses yang sama pada tahun 2025, dan kami menjangkakan Wild Rift akan beralih kepada permohonan terbuka pada tahun 2027.

Adakah 2XKO, Legends of Runeterra dan Riftbound mempunyai Program Rakan Kongsi?

Kami sentiasa meneroka cara untuk menyokong pencipta kandungan di semua permainan kami, tetapi buat masa ini, kami belum mempunyai sebarang maklumat baharu untuk dikongsi tentang program rakan kongsi bagi 2XKO, LoR atau Riftbound. Dengan itu, setiap permainan akan terus melabur dalam pencipta dengan cara yang sesuai untuk komuniti mereka. Sebagai contoh, Riftbound baru-baru ini berkongsi lebih lanjut tentang cara ia menyokong pencipta TCG. Anda boleh mengikuti saluran sosial setiap permainan untuk mendapatkan kemas kini dan peluang terkini.

Apakah rantau yang layak untuk Program Rakan Kongsi?

Program ini tersedia untuk pencipta di seluruh dunia, tetapi disebabkan oleh sekatan di beberapa negara, kami mungkin tidak dapat menerima sesetengah pencipta. 

Bilakah permohonan akan dibuka semula pada masa akan datang?

Jawapan ringkas: Kami pun tidak pasti. 

Jawapan panjang: Sebaik sahaja kami yakin ia akan menjadi pengalaman hebat untuk pencipta tambahan! Inilah kali pertama kami menyambut pencipta kandungan pada skala sebesar ini. Menyemak setiap permohonan dan menjalankan orientasi bagi semua pencipta baharu merupakan sesuatu yang mengambil masa, dan kami ingin memastikan program rakan kongsi kami telah berkembang dengan berkesan sebelum menyokong kemasukan pencipta tambahan. Maklumat terperinci tentang peluang permohonan pada masa hadapan akan tersedia di saluran media sosial Riot dan di halaman utama Hab Pencipta.

Adakah program rakan kongsi ini akan melibatkan cosplayer dan artis komuniti? 

Buat masa ini belum, tetapi kami sedang giat meneroka cara untuk menyokong cosplayer dan juga artis komuniti dengan lebih baik. Maklumat lanjut akan dikongsikan tidak lama lagi.


Kredit Artis:​ @Luzdanaee